Sabtu, 7 Ogos 2010

lagenda AE86


FT-86

AE 86 Trueno

AE 86 Levin

Adakah Toyota FT-86 mampu menyaingi populariti model legenda AE86?


PADA tahun 1985, Toyota telah melancarkan model Corolla terakhir yang menggunakan pacuan roda belakang. Konfigurasi enjin FF (Front Engine-Front Drive) ketika itu mula mendominasi pasaran dan dianggap paling ekonomikal, ringkas dan boleh dipercayai. Tradisi FR (Front Engine-Rear Drive) tidak lagi dianggap sesuai bagi kereta-kereta penumpang yang dijual untuk mengikut skala ekonomi berasaskan keuntungan modal.

Untuk pasaran luar, siri AE80 itu menerima transformasi yang digelar Corolla LE. Namun tidak ramai yang menyedari bahawa Toyota juga memiliki kereta sports kelas bawahan yang digelar Sprinter Levin dan Truneo.

Model-model itu dikenali dengan kod badan AE86. Dalam bahasa Jepun, ia disebut Hashi-Roku. Pada awalnya, ia merupakan sebuah kereta biasa seperti MR2 atau Mazda Savanna. Namun siri animasiInitial D dengan jalan cerita cukup dramatik telah meletakkan AE86 sebagai model legenda yang diingati ramai.

Aksi drifting dalam initial D mula popular dalam kehidupan realiti anak-anak muda Jepun. Di jalan yang berbukit dan berliku, kereta berpacuan roda belakang itu memasuki selekoh dengan cara menggelongsor atau digelar power slide. Keseronokan pemanduan itu berkait rapat dengan cara mengawal kereta tanpa menyebabkan kereta understeer. Popularitinya yang meningkat saban tahun membawa kepada penganjuran pertandingan yang lebih teratur.

Ia mula diiktiraf sebagai sukan bermotor bertaraf nasional dan dikenali sebagai D1 Gran Prix. Sama seperti AE86 dalam siri animasi tersebut, model itu tiba-tiba menjadi sangat popular baik di Jepun mahupun di negara yang pernah mengimport masuk legenda tersebut.

Malah, di Jepun pada hari ini, sebuah AE86 dalam keadaan baik, harganya boleh mencecah lebih 1 juta yen. Kira-kira RM40,000 sangat mahal untuk sebuah kereta yang berusia lebih 20 tahun.

Beberapa tahun yang lalu dalam majalah BestCar keluaran Jepun, timbul khabar angin bahawa Toyota akan menghasilkan semula AE86 dengan wajah baru. Peminat AE86 berhenti bernafas dan menantikan apakah perkembangan seterusnya.

Namun kegawatan ekonomi yang melanda menyebabkan hala tuju kebanyakan syarikat automotif tidak lagi sama. Walaupun Toyota merupakan pengeluar kereta terbesar dunia hari ini, namun membuat kereta bagi pasaran sekecil AE86 adalah satu perjudian yang terlalu besar untuk diambil.

Guna kepakaran Subaru

Selepas kemasukan Akio Toyoda, cucu kepada pengasas syarikat Toyota dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor, dunia kembali berpaling kepada Toyota. Tidak lama selepas itu, Toyota mengumumkan model konsep FT-86. Ia bakal mengubat rindu legenda AE86 yang akan diperkenalkan sebagai sebuah model produksi pada tahun 2011.

Tanpa berselindung, Toyota mengumumkan akan menggunakan kepakaran Subaru yang mereka miliki pegangan 16.5 peratus dalam Fuji Heavy Industries.

Toyota dan Subaru mungkin dua pembuat kereta dengan tradisi yang berbeza. Subaru sangat sinonim dengan enjin Boxer dan pacuan empat roda (4WD). Pasarannya juga kecil dan mereka adalah pembuat kereta yang membuat kereta berdasarkan kebebasan juruteranya. Sementara Toyota pula berkaitan dengan konglomerat, keuntungan dan status.

Secara asasnya, FT-86 akan mengekalkan konsep dasar AE86, sebuah coupe dan pacuan roda belakang. Namun reka bentuknya jauh lebih sporty dan agak janggal untuk dipanggil sebagai Corolla. Ia direka di studio Toyota Europe Design Developement yang terletak di Nice, Perancis.

Produksi semula AE86

Sebelum model itu memasuki produksi, ramai yang skeptikal dengan istilah pengganti AE86. Ini kerana FT-86 langsung tidak mencerminkan sebuah liftback ringkas yang melambangkan model legendanya.

Enjin yang bakal digunakan datangnya dari kilang Subaru. Besar kemungkinan enjin boxer yang dihasilkan Subaru itu akan dipasangkan pada FT-86. Tetapi jika ia konfigurasi EJ20 Subaru, maka padanan pacuan yang paling sesuai ialah pacuan kesemua roda (AWD).

TOYOTA AE86 masih mendapat sambutan sehinggakan harganya boleh mencecah RM40,000 seunit.

Subaru merupakan yang terbaik dalam kalangan pembuat enjin empat silinder dari Jepun apabila berbicara tentang pacuan empat roda. Baik dari segi pembahagian berat, mahupun kesinambungan penghantaran kuasa. Namun, jika ia dipacu empat roda, adakah ia kekal sebagai legenda AE86?

Saya sering ditanya dengan soalan kenapa tidak dikeluarkan semula AE86. Baiklah. Pandangan kita tentang industri berbeza dengan apa yang berlaku secara realiti. Ramai mungkin menyangkakan AE86 akan mendapat sambutan menggila jika dilahirkan semula dalam bentuk asal. Sedangkan dari segi matematiknya, produksi untuk model itu memerlukan modal yang besar untuk diputarkan kembali menjadi kos dan keuntungan.

Era 80-an sangat berbeza dengan hari ini yang piawaian pengeluaran kereta baru sangat ketat. Aspek keselamatan kenderaan dan spesifikasi alam sekitar sahaja sudah memerlukan banyak belanja untuk dipatuhi. Segala bentuk parameter, ukuran dan teknologi pada AE86 yang asal tidak lagi melepasi standard industri hari ini.

Itu belum termasuk isu lebih kecil seperti keselamatan pejalan kaki di Eropah dan keselamatan tangki minyak di Amerika Syarikat. Seperti yang diketahui, pasaran di kedua-dua benua itu diperlukan untuk mendapatkan jualan awal yang penting bagi membayar semula kos pembikinan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kereta tersebut.

Krisis pasaran dan identiti

Jika kereta itu menjadi realiti, FT-86 mungkin menghadapi krisis pasaran dan identiti apabila diperkenalkan kelak. AE86 mungkin sinonim dengan Levin dan Trueno. Nama-nama itu masih diguna pakai untuk generasi AE90/AE100 dan AE110.

Namun FT-86 mungkin sedikit janggal jika digelar dengan nama Corolla Levin FT-86. Bunyinya pelik sekali. Kalau tidak kepada umum, mungkin pada masyarakat sukan drift yang mengingati AE86 sebagai legenda yang tidak mungkin dilupakan.


TOYOTA FT-86 direka bentuk di Studio Toyota Europe Design Development, Nice, Perancis.

Toyota menyedari bahawa pasaran kereta sebegini masih kecil jika dibandingkan dengan statistik pengeluaran model-model penumpang yang lain. Menduga strategi awal tentang FT-86 mungkin keterlaluan. Tetapi sebuah kereta yang penting seperti itu memerlukan skop pemasaran yang betul agar ia cemerlang seperti lagendanya.

Bermula tahun 2000, nama-nama besar dalam model sports Toyota telah hilang dalam pasaran. Tidak ada lagi jati diri kereta sportsmurah Jepun yang dapat dilihat pada hari ini. Lihat sahaja pada generasi akhir Celica yang nyata tidak langsung sesuai dengan gelaran Celica yang merupakan legenda Mustang Jepun satu ketika dahulu.

Celica kali ini tidak ubah seperti Vios yang dipendekkan menjadicoupe dengan kit badan merapu. Prinsip asas sudah hilang. Itulah yang menyedihkan tentang perkembangan automotif Jepun hari ini. Jelas kelihatan, kereta-kereta hari ini dipengaruhi oleh pasaran. Bukan teknologi, idea, jiwa dan keghairahan jurutera yang tulen.

Tiada ulasan: