Khamis, 28 Jun 2012

sosialisasi

Asyik dengan laman sosialnya. Obses dan ketagih akan perbualan rakan - rakan yang anda sendiri tidak pernah ketemu.


Mudah, jimat masa dan waktu, ringkas dan cepat. klik dan hantar. 


Terlalu mudah.


Perangkap diri dengan sengaja di ruang bilik sehingga kan interaksi antara keluarga makin pupus. Jarang bercakap dan hubungan makin renggang. 


Makan malam bersama keluarga juga dikongkong oleh kehebatan teknologi telefon pintar yang mampu membuatkan anda berinteraksi dengan orang luar tanpa sekatan. 
Tangan kiri pegang telefon tangan kanan suap nasi. Hebat kan?


Tetapi manusia ini lupa untuk mempelajari nilai yang meliputi cara-cara hidup,  dan norma-norma kehidupan yang terdapat dalam masyarakat agar dia dapat diterima oleh masyarakatnya. 


Benda ni perlu cari diluar rumah.


Manusia ini tiada aspek sosialisasi di mana proses seseorang itu menghayati serta memahami norma-norma dalam masyarakat tempat tinggalnya sehingga membentuk keperibadian dan kesempurnaan kendirinya.


Dia tiada ruang untuk bersosial bersama jiran dan tidak melibatkan diri dalam menyertai program yang dianjurkan oleh orang - orang kawasan kediamannya Tetapi manusia ini lebih kerap untuk berinteraksi dengan orang yang tidak dikenalinya di alam maya.


Jika anda mampu menguruskan jenazah sendiri dan menggali kubur sendiri, teruskanlah hidup dengan cara begitu. 

Rabu, 27 Jun 2012

Guru segala - galanya

Amanda seorang murid tahun 2. Bersih dan suci. Sinonim dengan hatinya. Maklumlah budak - budak. Tidak pandai lagi menipu. Lurus.

Hari - hari Amanda ke sekolah. Mencari ilmu mengikut rutin. Maklumlah budak kecil begini tidak faham lagi tujuan sebenar mencari ilmu. Sekadar tabiat, rutin dan cita - cita yang disandarkan oleh kedua - dua ibu bapanya sebagai contoh menjadi seorang ahli angkasawan.

Amanda bangun awal pagi dan bersiap sedia untuk ke sekolah. Amanda membawa bekal makanan yang telah disiapkan oleh ibunya sewaktu Subuh. Ibu dan bapa Amanda sungguh prihatin terhadap kebajikan anak tunggal mereka. Bapa  Amanda bekerja sebagai jurutera manakala ibunya sebagai suri rumah.

Hari ini kelas Amanda menerima kedatangan guru baru. Guru baru yang mempunyai ketrampilan atau personaliti yang menarik. Guru tersebut bernama Cik Suraya.

Cik Suraya masuk ke kelas. Dalam hati Amanda berkata - kata " Saya suka cikgu ni ! " pandangan pertama Amanda terhadap guru barunya.
Cikgu Suraya memperkenalkan dirinya lantas berkenalan dengan anak - anak muridnya termasuk Amanda.

Dalam raut wajah Amanda kelihatan dia begitu seronok dan selesa ketika Cikgu Suraya masuk ke kelasnya. Cikgu Suraya pandai menarik perhatian pelajar. Dia bijak menangani pelajar yang kurang berinteraksi dengannya sewaktu dia mengajar di hadapan.

Sebelum Cikgu Suraya memulakan sesi pengajaran dan pembelajarannya, Cikgu Suraya gemar bercerita dan  ini sebagai langkah pertama untuk menarik perhatian murid - muridnya sewaktu berada di dalam kelas.

Setiap hari Amanda lebih bersemangat untuk ke sekolah kerana Cikgu Suraya sebagai daya tarikan utamanya.  Amanda sering bercerita tentang Cikgu Suraya kepada kedua ibu bapanya sehingga kan dia turut berkongsi cerita  yang telah disampaikan oleh Cikgu Suraya sewaktu di sekolah.

Amanda petah bercerita kepada kedua ibu bapanya tentang cerita yang disampaikan oleh Cikgu Suraya. Amanda seolah - olah langsung tidak terlepas akan segala isi yang disampaikan oleh cikgunya. Di sini kita dapat lihat aura seseorang guru tersebut kepada anak muridnya. Seolah - olah Cikgu Suraya adalah segala - galanya bagi Amanda.

Amanda rajin menelaah pelajaran. Pada sebelah malam bapa atau ibunya sering menemani Amanda untuk menyiapkan kerja sekolah. Pada malam itu Amanda menyiapkan latihan subjek Bahasa Melayu. Kebetulan pula mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan subjek yang diajar oleh Cikgu Suraya. Bapa Amanda juga membantu dalam menyiapkan kerja rumah Amanda. Bapa Amanda menegur Amanda apabila terdapat kesalahan dalam tatabahasanya tetapi Amanda berkata " tidak salah ni pa, Cikgu Suraya memang ajar begini. Ini yang saya belajar di sekolah tadi pa "

Amanda tetap berkeras hati akan jawapannya. Dia tidak mengendahkan teguran bapanya kerana menganggap bahawa jawapan tersebut adalah jawapan yang betul walhal Cikgu Suraya mengajar tatabahasa yang kurang tepat dan mengelirukan kepada anak - anak muridnya.

Di sini kita dapat simpulkan bahawa kata - kata dan ilmu yang dikeluarkan oleh guru merupakan sesuatu yang berharga dan bernilai kepada murid. Murid sentiasa akan ingat tentang setiap kata - kata yang dilontarkan oleh guru kepada mereka termasuk ilmu pelajaran dan menganggap semua perkara yang diajar merupakan sesuatu yang benar sama sekali.

Guru adalah segala - galanya bagi murid.